Tuesday 15 October 2013

Ilmu

Jika kita ingin menuntut ilmu, kita sendiri mestilah menghormati gurunya. Mana boleh, kelewatan guru menjadi alasan untuk kita terus memperlekeh orang yang hendak memberi ilmu kepada kita? Beruntunglah mereka yang menunggu. Kerana menanti, mereka memperoleh ilmu dari ulamak yang terkenal kerana ilmunya.

Menghormati manusia juga biarlah kerana ilmunya. Orang yang berilmu pula amat suka kepada orang yang ingin memperoleh ilmu daripadanya. Biasanya orang yang berilmu tidak lokek untuk menyampaikan apa yang diketahuinya. Penyampaiannya itu akan menguntungkan kedua-dua belah pihak untuk sekurang-kurangnya daripada tiga aspek.

Pertama, kita yang bertanya akan memperoleh ilmu. Kedua, ilmuan yang menjawab itu akan memantapkan ilmu yang dipelajarinya kerana soalan kita itu umpama ulangkaji baginya. Ketiga, perbincangan mengenai ilmu itu sendiri bakal memperluas ruang lingkup topik yang dibicarakan.

Beruntunglah seandainya kita sentiasa ingin hadir di dalam majlis-majlis ilmu yang pada hari ini disampaikan dalam bentuk usrah, kuliah, ceramah, forum, wacana, seminar mahupun persidangan. Kita perlu meluangkan masa untuk majlis-majlis seperti ini. Majlis-majlis ini kian banyak dianjurkan. Dalam pada itu, kita perlu mengurangkan sedikit tabiat menghadiri majlis-majlis untuk keseronokan semata-mata seperti menghadiri konsert, parti dan berpesta-pestaan.

Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim(berilmu). Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manafaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang).

Andainya kita sendiri orang yang berilmu, bukankah ia juga bererti kita sebenarnya menghormati diri kita sendiri?

No comments:

Post a Comment